Ketua pasukan Manchester City, Vincent Kompany akan membuat
kunjungan pertama ke Malaysia Rabu ini untuk melancarkan jualan tiket
perlawanan juara Liga Premier Inggeris itu menentang pasukan pilihan
Malaysia.
Pemain pertahanan Manchester City itu yang memimpin pasukannya buat
pertama kalinya sejak 44 tahun lalu menjuarai liga premier, akan menjadi
pemain tumpuan dalam perlawanan berkenaan di Stadium Nasional Bukit
Jalil pada 30 Julai depan.
Penganjur perlawanan, ProEvents, dalam satu kenyataannya hari ini
berkata Kompany akan melancarkan jualan tiket perlawanan itu di Wisma
FAM di Kelana Jaya pada 6 Jun ini.
Pemain berasal dari Belgium itu berharap dapat menemui para peminatnya semasa kunjungannya ke Malaysia nanti.
"Saya telah mendengar banyak cerita menarik tentang negara ini
daripada rakan-rakan sepasukan yang pernah datang ke negara ini.
"Mereka sentiasa bercerita tentang sambutan hangat yang diberikan
oleh rakyat Malaysia dan saya memandang ke hadapan untuk berjumpa dengan
para peminat semasa berada di sini nanti," kata Kompany menerusi
kenyataan tersebut.
Pemain yang berusia 26 tahun itu merupakan salah seorang pemain
pertahanan yang terkemuka di dunia sejak beliau menyertai pasukan
Manchester City yang berjersi biru itu empat tahun lalu.
Sejak dari itu, beliau telah bermain sebanyak 127 kali untuk kelab berkenaan.
Beliau merupakan sebahagian daripada anggota penting pasukannya yang
menjuarai Piala FA tahun lepas dan menjadi johan dalam Liga Premier
Inggeris pada musim lalu
No comments:
Post a Comment