ALOR SETAR - Kerajaan akan terus mempertahankan empat prinsip utama dalam Akta Hasutan 1948 jika dipinda atau diganti akta yang baharu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia perlu dikekalkan demi menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

Beliau berkata, empat prinsip yang perlu dikekalkan ialah kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu sebagai raja  berperlembagaan, kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Sekiranya ada individu atau mana-mana organisasi yang menyentuh atau mempertikaikan salah satu prinsip itu, mereka boleh dikenakan tindakan bawah Akta Hasutan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Kedah di TH Hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, Akta Hasutan akan terus dipergunakan selagi belum mempunyai akta baru atau dipinda.

“Kerajaan komited untuk melakukan transformasi politik. Kita bersetuju dengan saranan yang dilontarkan tetapi memerlukan waktu untuk memindanya tetapi belum  mempunyai draf,” katanya.

Beliau berkata, draf yang ada pada ketika ini hanyalah dari organisasi luar dan bukan disediakan  kerajaan.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal siasatan terhadap isu-isu sensitif seperti termaktub dalam perundangan dan selagi belum ada undang-undang  baharu, saya akan pastikan mana-mana individu yang menyentuh empat perkara itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan,” katanya.

sumber : SINAR HARIAN