Wednesday, 13 June 2012

Kerajaan tidak pernah abaikan pembangunan di Padang Terap


PADANG TERAP 4 Jun - Mengikut sifir mudah, Parlimen Padang Terap yang terletak di Kedah Timur seharusnya mampu kekal di tangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), 2008.
Bagaimanapun tsunami politik yang melanda negara pada masa itu menyaksikan keputusan di kerusi Parlimen berkenaan tidak seiring dengan keputusan di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Parlimen itu mempunyai kerusi DUN Pedu dan Kuala Nerang yang kedua-duanya dikuasai BN. Parti pemerintah negara itu menang di Pedu dengan majoriti 2,733 undi manakala di Kuala Nerang pula dengan majoriti 805 undi.
Melihat kepada keputusan di kedua-dua kerusi tersebut, logiknya BN boleh menang di kerusi Parlimen Padang Terap sekitar 3,500 undi.
Namun, hakikat yang harus ditelan oleh jentera parti itu adalah penguasaan di DUN tidak menjamin kemenangan di kerusi Parlimen apabila BN tewas dengan majoriti 369 undi.
Jika dilihat kepada keputusan pilihan raya umum sejak 1995, Padang Terap bertukar tangan antara BN dan Pas sebanyak empat kali.
Kerusi Parlimen itu dikuasai BN pada 1995 menerusi kemenangan Datuk Dr. Affifuddin Omar tetapi jatuh ke tangan Pas pada pilihan raya umum apabila Zawawi Ahmad menewaskan Othman Ismail (BN) dengan majoriti 1,053 undi.
BN kemudian menguasai semula kerusi itu pada PRU 2004 apabila Datuk Ghazali Ibrahim menumbangkan Zawawi dengan majoriti 2,172 undi. Ghazali bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum lalu setelah tewas kepada Mohd. Nasir Zakaria daripada Pas.
Meskipun kerusi Parlimen berkenaan sering bertukar tangan antara BN dan pembangkang, Kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan kawasan itu untuk menikmati pelbagai limpahan pembangunan kerana tidak mahu jurang yang ketara berlaku dengan kawasan lain.
Salah satu projek yang merubah wajah Padang Terap adalah pembukaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Kota Putra di Durian Burung kira-kira dua tahun lalu.
CIQS berkenaan menjadi pintu sempadan kedua di Kedah selepas Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu sekali gus memberi peluang kepada pembangunan di daerah berkenaan.
Ia menjadikan Daerah Padang Terap sebagai kawasan terbuka kepada pasaran luar selain menjadi permulaan era pembangunan ekonomi yang turut melibatkan daerah berjiran iaitu Sik, Baling dan selatan Thailand.
Pembangunan di kawasan Durian Burung itu secara tidak langsung turut mewujudkan pusat pertumbuhan baru seperti daerah Kubang Pasu yang merupakan pintu masuk dari selatan Thailand melalui pusat pemeriksaan di Bukit Kayu Hitam.
Sejajar dengan pembukaan CIQS, kerajaan turut melaksanakan projek pembinaan Lebuh Raya Trans Eastern Kedah Interland (Tekih) untuk merancakkan lagi pembangunan pekan yang terletak di hujung Kedah itu.
Lebuh Raya Tekih yang menghubungkan Durian Burung-Pedu-Kupang di Baling dijangka membangunkan kawasan Kedah Timur yang sering kali dikaitkan dengan kemunduran.
Tidak terhenti setakat itu, Kerajaan Pusat menerusi Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri (ICU) sedang menaik taraf jalan raya Alor Setar-Kuala Nerang-Durian Burung sejauh 47.8 kilometer sekali gus menjadi lingkaran perhubungan dalam daerah Padang Terap.
Ia meliputi kerja-kerja menaik taraf, membaik pulih dan melebarkan jalan sedia ada bermula dari Alor Setar melalui pekan Pokok Sena, Kuala Nerang, Padang Sanai dan terus ke Durian Burung sehingga Tekih.
Dari segi keagamaan, sejumlah RM1.2 juta dibelanjakan sejak tahun lalu bagi membaik pulih, menaik taraf atau membina rumah-rumah ibadah seperti surau.
Selain projek mega berkenaan, para pemimpin BN di kawasan itu turut berusaha membawa banyak lagi projek demi kemudahan dan keselesaan penduduk.
Satu contoh ialah pembinaan sebuah jambatan baru menggantikan jambatan gantung merentasi Sungai Pedu di Kuala Nerang yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 penduduk di lima buah kampung.
Jambatan yang menelan belanja sebanyak RM2.1 juta itu mula dibina pada Ogos tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Ia bagi menggantikan jambatan gantung di Perkampungan Keda Bukit Kura dan akan memudahkan penduduk di perkampungan berkenaan, Kampung Lubuk Merbau; Kampung Bukit Kura; Kampung Bukit Buluh dan Padang Tok Khamis berulang-alik melakukan aktiviti harian.
Seorang penduduk Kampung Keda Bukit Kura, Abdul Halim Ahmad, 43, berkata, penduduk di kawasan itu sudah lama menunggu jambatan gantung tersebut diganti sebagai jalan pintas bagi memudahkan orang ramai ke Pekan Kuala Nerang yang menempatkan pelbagai kemudahan termasuk sekolah.
Katanya, dengan terbinanya jambatan berkenaan, tempoh perjalanan ke Pekan Kuala Nerang menjadi lebih cepat selain boleh digunakan penduduk yang berkereta.
"Kami berasa lega dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang amat prihatin membina jambatan baru ini. Ia membawa erti yang besar kepada kami," katanya.
Seorang penduduk di Parlimen berkenaan, Hussain Said, 63, pula berkata, dia dapat melihat perubahan pembangunan pesat yang dinikmati penduduk Padang Terap hasil perancangan rapi dan usaha kerajaan BN.
"Kehidupan penduduk kini sudah dinaik taraf menerusi pelbagai projek pembangunan prasarana seperti jalan raya mahupun pendidikan yang tidak putus-putus dijalankan kerajaan," katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembangunan yang dibawa kerajaan BN ke kawasan tersebut mencakupi semua sektor.
Umpamanya kata beliau, Padang Terap tidak pernah ketinggalan dalam memiliki prasarana atau pusat pendidikan seperti kewujudan Kolej Mara Kuala Nerang dan Kolej Komuniti di pekan Kuala Nerang serta pembukaan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Naka.
Menurut beliau, projek yang dilaksanakan menerusi pelbagai kementerian juga berjalan sepanjang masa seperti penambahan bangunan dalam hospital oleh Kementerian Kesihatan, pembaikan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran dan pembaikan sistem paip air oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
ICU turut memastikan projek yang memberi manfaat kepada penduduk seperti membina jambatan baru bagi menggantikan jambatan lama.
"Selain di Perkampungan Keda Bukit Kura, kerja-kerja menaik taraf lapan jambatan dari Naka ke Nami turut dijalankan. Itu baru melibatkan projek, tidak termasuk bermacam-macam bantuan lain seperti membaik pulih rumah orang miskin oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).
"Saya yakin pembangunan di Padang Terap akan lebih rancak jika rakyat memberi peluang kepada BN mentadbir negeri ini kerana lebih mudah apabila kerajaan negeri selari dengan Persekutuan," katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pedu.

No comments:

Post a Comment