Sunday 20 January 2013

Karpal desak PAS akur

DAP mahu keputusan Majlis Syura seiring dengan pendirian pakatan pembangkang
Georgetown: Karpal Singh mendesak PAS supaya tidak mengingkari kesepakatan yang dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu yang membenarkan kalimah Allah digunakan bukan Islam.
        Pengerusi DAP itu berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu memastikan keputusan Majlis Syura PAS seiring dengan pendirian pakatan pembangkang yang sudah dipersetujui bersama.

Dilema pakatan pembangkang
Beliau berkata, keputusan Majlis Syura PAS Ahad lalu jelas bertentangan dengan pendirian yang sudah disepakati bersama PAS.
“Saya berharap Hadi menyampaikan pesanan penting ini kepada Majlis Syura PAS untuk memastikan pendirian mereka seiring dengan keputusan pakatan pembangkang,” katanya di sini, semalam.


Mesyuarat Majlis Syura PAS yang dipengerusikan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, Ahad lalu memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam
Bible versi bahasa Melayu.
Sayap tertinggi PAS yang dianggotai 15 ahli itu, berpendapat menterjemah kalimah ‘God’ atau ‘Lord’ dari mana-mana kitab agama bukan Islam adalah salah dari segi makna dan salah guna serta tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata, sekali gus perlu dicegah. Ketetapan itu turut melarang kalimah Allah diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia.


Kalimah khusus


Dalam kenyataan media dikeluarkan selepas mesyuarat hampir dua jam berakhir 11 malam itu, Nik Aziz dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, berkata kalimah Allah adalah kalimah
khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Khamis lalu menafikan timbulnya isu percanggahan kerana keputusan Majlis Syura PAS yang hanya satu organisasi dalam parti berkenaan, bukan menggambarkan keputusan pimpinan pakatan pembangkang.

Sementara itu, Karpal turut menyifatkan keputusan kerajaan PAS Kedah mengenakan kod berpakaian untuk mereka yang terbabit dalam persembahan Tahun Baru Cina sebagai melampaui batas.

No comments:

Post a Comment