KUALA NERANG - Pergerakan Pemuda Umno Kedah hari ini mendesak Menteri
Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak melepaskan jawatan setelah beliau
gagal menjawab isu projek bernilai hampir RM37 bilion yang didakwa
tidak dibuat secara tender terbuka.
Ketuanya Badrulhisham Hashim berkata selaku ketua pentadbir kerajaan
negeri, Azizan perlu memikul tanggungjawab menjelaskan isu terbabit
kepada rakyat, sekali gus menghapuskan prasangka buruk pelbagai pihak
terhadap Pas.
"Saya yakin jika kerajaan Pas Kedah telus, isu ini diperjelaskan kerana
Azizan tidak akan mampu menyoroknya," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau diminta mengulas tindakan Azizan yang mengelak daripada menjawab
isu terbabit, yang dibangkitkan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng
Liang.
Tan dilapor mendakwa projek terbabit ialah pembinaan kampus Kolej
Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil berharga RM330 juta; projek Aman Central
dan Amansuri Residences di Alor Setar (RM600 juta); serta projek Sungai
Limau Hidrokarbon Hub (SULIHH) (RM36 bilion).
Semalam, ketika ditanya pemberita mengenai perkara tersebut, Azizan
hanya berkata Tan kebudak-budakan dan "saya tidak mahu layan budak ini".
Mengulas lanjut, Badrulhisham berkata sikap Azizan tersebut
membayangkan seolah-olah ada yang tidak kena dalam pentadbiran kerajaan
negeri yang diteraju Pas itu.
"Setiap perkara yang ada kaitan dengan kepentingan rakyat harus dijawab
dan diberi penjelaskan," kata Badrulhisham yang turut menganggap
tindakan kerajaan negeri itu juga satu bentuk "kezaliman" kepada rakyat.
- Bernama
No comments:
Post a Comment