ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) akan mempunyai manifesto khas bagi
Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti bagi mengetengahkan
apa yang akan dilakukan BN jika dapat menawan semula negeri ini.
Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pada PRU-13
nanti, BN Kedah akan mempunyai dua manifesto iaitu manifesto di
peringkat pusat dan manifesto khusus untuk Kedah.
"Kita akan bincang dengan (BN) pusat. Ia merupakan janji-janji kita
jika menang di Kedah ini. Ia bukanlah janji kosong tetapi janji-janji
yang memang kita sentiasa tunaikan," katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kedah di sini malam
tadi.
Beliau berkata, lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
sempena program Jelajah Janji Ditepati di Kulim Jumaat lepas adalah bagi
membolehkan rakyat Kedah melihat sendiri janji-janji BN yang
ditunaikan.
Sementara itu, Ahmad Bashah meminta pemimpin dan anggota Umno serta
parti komponen BN supaya tidak terlalu memikirkan peristiwa hitam PRU-12
yang menyaksikan BN kehilangan penguasaan ke atas Kedah.
"Di Kedah ini, kita sebenarnya mempunyai rekod yang hebat..kita menang
11 pilihan raya, cuma 2008 sebab ada tsunami kita kalah. Jangan jadikan
(PRU) yang ke-12 halangan untuk kita bergerak. Jangan fikir siapa yang
tidak sokong kita dulu akan kekal tak sokong kita.
"Cuba lihat balik pada PRU-9, PRU-10 dan PRU-11 di mana kita ada
kekuatan dan menang. Ahli Umno juga perlu kembali bekerjasama dengan
parti komponen. Biarlah tsunami politik 2008 jadi sejarah," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Bashah meminta persiapan jentera
pilihan raya di semua 672 pati-peti undi dipergiatkan termasuk
mengadakan lebih banyak kursus berkaitan pilihan raya kepada para
petugas.
"Kursus ini perlu kerana ada banyak benda-benda baru pada PRU-13. Para
petugas perlu mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang cukup untuk
berdepan dengan pilihan raya nanti," katanya.
Katanya, beliau berharap kursus-kursus itu dapat diselesaikan dalam
bulan Jun ini juga memandangkan PRU-13 boleh diadakan bila-bila masa. -
Bernama
No comments:
Post a Comment