UMNO, yang menjadi tunjang parti pemerintah, secara berterusan
menegakkan syiar Islam sehingga Malaysia kini menjadi sebuah negara
Islam contoh, kata tokoh akademik.
Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Datuk Prof Madya Dr
Mizan Hitam, berkata sejak ditubuhkan pada 1946, UMNO tidak terpisah
daripada perjuangan untuk memartabatkan Islam kerana UMNO adalah parti
orang Melayu.
"UMNO itu parti orang Melayu dan Melayu di Malaysia tidak boleh
dipisahkan daripada Islam, itu jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Melayu dalam Perlembagaan mesti beragama Islam, berbahasa Melayu dan
mengamalkan adat istiadat Melayu. Jadi rumusannya, orang Melayu di
Malaysia dia beragama Islam manakala parti orang Melayu... sejarahnya
ialah UMNO," katanya.
Mizan berkata, dalam konteks sejarah kewujudan UMNO, tidak timbul
parti itu tidak Islamik hanya kerana penubuhannya atas prinsip
perjuangan Islam cuma dilabelkan atas nama perjuangan bangsa.
"Pada peringkat awal, UMNO dan PAS berada dalam Perikatan... boleh
saya katakan (kedua-dua parti mempunyai) ideologi politik yang hampir
sama cuma yang bezanya UMNO berteraskan kebangsaan Melayu, PAS
berteraskan perkataan Islam," katanya.
"Islam adalah agama persekutuan, jadi bermakna UMNO mempertahankan
agama Islam. Bila Islam menjadi agama persekutuan bermaksud UMNO ada
kekuatan untuk memperjuangkan Islam tanpa ada rasa was-was dengan bangsa
lain kerana itu hak dalam perlembagaan," katanya.
Beliau berkata, dasar pembangunan yang dilaksanakan UMNO sejak
kemerdekaan menjurus kepada pembangunan ekonomi dan pengurusan kekayaan
negara yang selaras dengan ajaran Islam.
Syiar Islam di negara ini terus berkembang dan mengangkat martabat
Malaysia ke persada antarabangsa sebagai sebuah negara Islam yang
berjaya, katanya.
"Walaupun ia bersifat syiar Islam, Tilawah Al-Quran peringkat
antarabangsa berkekalan sehingga hari ini, walaupun ia tidak ada dalam
syariat Islam... tetapi syiar itu mengangkat martabat Malaysia ke
persada dunia," kata Mizan.
Beliau berkata, perjuangan UMNO dalam memartabatkan Islam turut
menyaksikan kekuatan institusi agama dalam kerajaan diperkukuhkan dan
proses Islamisasi dalam negara meliputi sistem pentadbiran, ekonomi dan
kewangan negara.
"... UMNO melalui kerajaan yang memerintah berjaya melaksanakan
sistem ekonomi Islam, contohnya Bank Islam, sistem perbankan Islam, yang
akhirnya bank konvensional juga menyediakan kaunter perbankan Islam...
itu bukti yang saya fikir tidak boleh sesiapa nafikan," katanya.
Mizan berkata, begitu juga dengan pewujudan Hab Halal yang bukan
saja menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran produk halal tetapi
turut membentuk ekosistem ekonomi Islam.
Beliau berkata, konsep wasatiyyah atau sederhana yang diketengahkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah satu prinsip bernegara
tentang bagaimana orang Islam menjalankan tanggungjawabnya dan
memberikan hak kepada orang bukan Islam dalam hidup bernegara.
Ini menjadikan Malaysia sebagai rujukan kepada negara lain, katanya.
Mizan berkata, UMNO memberikan sumbangan besar dalam sistem
pendidikan negara dengan menyediakan sistem pendidikan terbaik dan
seimbang sehingga berjaya melahirkan tokoh yang menjadi pemimpin
pelbagai organisasi, industri, kemasyarakatan untuk memacu pertumbuhan
pembangunan negara.
Mizan berkata, semua pimpinan UMNO juga mesti menjadi contoh kepada
masyarakat sebagai tokoh pemimpin Islam di setiap peringkat.
Bagi memenangi hati orang Melayu, beliau berkata pemimpin UMNO di
semua peringkat mesti berada dalam organisasi masyarakat termasuk
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa
dan Guru (PIBG), jawatankuasa masjid dan surau untuk memastikan
perjuangan UMNO terus relevan.
"Ini penting kerana di sinilah kekuatan Melayu Islam. Kalau UMNO
mula meninggalkan institusi masjid dan surau, kekosongan itu akan diisi
oleh pemimpin parti lawan," katanya.
No comments:
Post a Comment